KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas empat kontena berisi sayap ayam seberat kira-kira 80,000 kilogram bernilai hampir RM1.5 juta selepas disyaki tidak diisytiharkan di Pelabuhan Sepanggar, di sini, Rabu lalu.
Rampasan dibuat menerusi operasi pemeriksaan AKPS Dermaga Kota Kinabalu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kira-kira jam 2.10 petang hasil maklumat awal.
Komander AKPS Dermaga Kota Kinabalu, Shahrizan Ibrahim berkata, pemeriksaan mendapati kesemua kontena berkenaan mengandungi sayap ayam dalam kuantiti besar yang tidak selaras dengan dokumen pengisytiharan.

“Semua empat kontena itu mengandungi sayap ayam (chicken wings) dengan anggaran 80,000 kilogram bernilai kira-kira RM1.5 juta.
“Semakan awal juga mendapati dagangan berkenaan dipercayai tidak diisytiharkan dengan betul, sekali gus menjadi kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi itu turut disaksikan wakil operator pelabuhan serta ejen kapal bagi memastikan proses pemeriksaan berjalan telus.
Menurutnya, kes kini dalam siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“AKPS komited memperkukuh kawalan di pintu masuk negara bagi mengekang sebarang bentuk penyelewengan dagangan.
“Sebarang cubaan mengelak pengisytiharan atau menyeludup barangan akan diambil tindakan tegas,” katanya. – Info X