SANDAKAN: Kira-kira 200 rumah atas air di Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini musnah dalam kejadian awal pagi tadi apabila api marak menjulang tinggi, menerangi keseluruhan kawasan penempatan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, kebakaran merebak pantas di kawasan penempatan padat, diburukkan lagi faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain sehingga api sukar dikawal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, seramai 30 anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan bomba turut menerima bantuan lima anggota dari BBP Kinabatangan bagi menjalankan operasi pemadaman di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, operasi berdepan kesukaran berikutan laluan sempit ke kawasan kampung selain keadaan air laut surut yang menyukarkan mendapatkan sumber bekalan air terbuka,” katanya dalam kenyataan media, pagi ini.

Menurutnya, pasukan bomba menggunakan beberapa aliran hos bagi mengawal kebakaran dengan sumber air diperoleh daripada jentera Water Tanker serta pili bertekanan berhampiran.
“Operasi turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal keadaan serta membantu mangsa terjejas.
“Sehingga kini, kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya dan operasi pemadaman sedang giat dijalankan,’ katanya.

Beliau berkata, setakat ini jumlah mangsa yang terlibat masih belum dapat dipastikan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X