KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah terus mempergiat operasi penguatkuasaan apabila menahan seramai 37 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam beberapa operasi bersepadu yang dijalankan, pada Jumaat.
Dalam operasi di sekitar Kota Kinabalu, sepasukan pegawai penguat kuasa JIM memeriksa seramai 75 individu yang terdiri daripada 45 warganegara Malaysia dan 30 warga Filipina.
Hasil pemeriksaan itu, enam warga Filipina ditahan, membabitkan empat lelaki dewasa dan dua wanita dewasa selepas disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah.
Sementara itu, operasi berasingan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JIM Lahad Datu pula menyaksikan pemeriksaan ke atas 78 individu, sebelum membawa kepada penahanan seramai 31 warga asing.
Daripada jumlah itu, 24 warga Filipina ditahan, terdiri daripada lima lelaki dewasa, 12 wanita dewasa serta tujuh kanak-kanak, yang turut disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Dalam operasi sama, tujuh lelaki dewasa warga Pakistan turut ditahan kerana disyaki tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, sekali gus melanggar Seksyen 15(1)(c) akta yang sama.
Semua individu yang ditahan dibawa ke depot imigresen berhampiran untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Jabatan Imigresen Malaysia dalam kenyataan menegaskan komitmen berterusan agensi itu dalam memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurutnya, operasi seumpama itu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang negara sentiasa terpelihara serta memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyat. – Info X