KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggerakkan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan menyediakan bantuan segera kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Batu Sapi di Sandakan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerusi perkongsian di Facebook beliau, berkata tindakan segera itu demi kebajikan lebih 400 mangsa dalam kebakaran besar itu.
“Saya amat berdukacita menerima laporan kebakaran besar yang melibatkan ratusan buah rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.
Kerajaan Negeri telah menggerakkan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan mangsa sentiasa terjamin disamping menyediakan bantuan segera agar mereka berada dalam keadaan selamat dan selesa.
“Keutamaan kita ketika ini adalah untuk memastikan kebajikan semua mangsa dijaga termasuk penyediaan tempat perlindungan sementara, makanan serta keperluan asas,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan dengan segera dan berkesan.
Berdasarkan laporan tidak rasmi dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), setakat jam 9.15 pagi Ahad, Pusat Pemindahan (PP) PPR Batu Sapi, Sandakan mendaftarkan seramai 89 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan seramai 445 mangsa.
Kebakaran perkampungan atas air itu dilaporkan berlaku pada jam 1.30 pagi dengan laporan awal membabitkan kira-kira 200 rumah jenis tidak kekal. – Info X