SANDAKAN: Sekurang-kurangnya 8,000 penduduk hilang tempat tinggal selepas kira-kira 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di penempatan atas air Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Kampung Bahagia, Sharif Hashim Sharif Titing berkata, hampir 90 peratus kediaman di kampung itu terbakar, sekali gus menjadikannya kebakaran paling besar pernah direkodkan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, ini kejadian ketiga selepas insiden sama pada 1994 dan 2001, namun kali ini hampir keseluruhan kampung terjejas.
“Syukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kami berharap bantuan segera dapat disalurkan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kami juga berharap pusat penempatan sementara dapat disediakan untuk menempatkan mangsa,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Zon 6 Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jasri Ab Jal berkata, kebakaran hanya dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 8 pagi.
Katanya, operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit ke lokasi selain kenderaan yang menghalang pergerakan jentera.
“Struktur rumah yang rapat serta angin kencang menyebabkan api merebak dengan sangat cepat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi diaktifkan sebagai pusat penempatan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa terjejas.
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Datuk Walter Kenson berkata, langkah itu diambil selepas pemeriksaan mendapati kawasan terlibat tidak selamat untuk didiami buat masa ini. – Info X