RANAU: Pasukan Mountain Search and Rescue Team (MOSAR) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menjalankan pemantauan keselamatan di sekitar Gunung Kinabalu susulan kejadian gegaran yang dilaporkan, awal pagi tadi.
Operasi pemantauan bermula kira-kira jam 10.30 pagi membabitkan rondaan di laluan pendakian utama serta kawasan berisiko termasuk lokasi batu longgar dan berpotensi berlaku runtuhan kecil.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, pemeriksaan turut melibatkan penilaian keselamatan pelancong serta malim gunung, selain komunikasi berterusan dengan agensi berkaitan bagi memastikan situasi kekal terkawal.
“Setakat ini, tiada sebarang insiden dilaporkan dan keadaan di gunung adalah selamat,” katanya.

Menurutnya, pasukan MOSAR akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk gegaran susulan.
“Orang ramai terutama pendaki dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pasukan keselamatan, menghentikan aktiviti pendakian sekiranya berlaku gegaran serta menjauhi kawasan batu longgar atau cerun berisiko,” katanya.
Terdahulu, gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 dilaporkan berlaku di kawasan Kundasang pada jam 3.02 pagi, dengan gegaran turut dirasai di sekitar Ranau. – Info X