Search

JSJN Sabah gempur dua lokasi, pengedar dicekup bersama dadah

April 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Usaha berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah membanteras pengedaran dadah membawa kepada penahanan tiga individu termasuk seorang remaja dalam dua operasi berasingan di Penampang dan Tuaran, malam hingga awal pagi tadi.

Dalam serbuan pertama kira-kira jam 9.05 malam di lobi sebuah kondominium di Bundusan, Penampang seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan lanjut menemui tiga paket plastik berisi serbuk disyaki ekstasi seberat 113.20 gram serta dua paket kecil mengandungi hablur jernih disyaki ketamin seberat 5.13 gram.

ACP Alhusin Halil.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak kira-kira dua bulan lalu dan mengaku semua barang kes yang dirampas adalah miliknya.

“Suspek juga dipercayai mendapatkan bekalan melalui kaedah “buang dan ambil” daripada seorang individu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata dalam operasi kedua kira-kira jam 12.05 tengah malam di Taman Telipok Ria, Tuaran, dua lagi individu termasuk seorang remaja ditahan ketika berada di tepi bangunan dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan menemui dua botol berisi cecair disyaki air ketum, selain satu paket ganja seberat 0.8 gram dan satu straw mengandungi cecair disyaki THC.

“Kedua-dua suspek berusia 16 dan 28 tahun itu mengaku mendapatkan bekalan daripada seorang individu di kawasan sama,” katanya.

Beliau berkata, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kes kedua disiasat di bawah Seksyen 6 akta sama serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Tambahnya, pihaknya akan meneruskan risikan dan usaha mengesan pembekal bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah di negeri ini. – Info X