PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan dipercayai pengedar ditahan bersama ganja seberat lebih 600 gram dalam serbuan Op Tapis di Jalan Pantai Berahi, Putatan, di sini, semalam.
Dalam operasi itu, suspek berusia 25 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan enam paket plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja.
“Anggaran berat keseluruhan rampasan ialah 641.82 gram dengan nilai sekitar RM1,890,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali,” katanya.
Menurutnya, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
“Usaha membanteras jenayah ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
“Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah, khususnya pengedaran dadah, bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya. – Info X