SANDAKAN: Mangsa kebakaran Kampung Bahagia, di sini, tidak dikenakan bayaran bagi mengganti dokumen pengenalan diri yang musnah dalam kebakaran berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penggantian dokumen pengenalan diri boleh dibuat secara percuma melalui perkhidmatan bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Katanya, penggantian percuma itu membabitkan dokumen seperti sijil kelahiran, MyKid, Mykad, sijil kematian dan sijil perkahwinan bukan Islam.
Beliau turut memberi jaminan proses penggantian akan dilakukan secara teliti berdasarkan rekod sedia ada di JPN.
Tegasnya, tiada kebimbangan mengenai kemungkinan mangsa bukan warganegara turut didaftarkan bagi membolehkan mereka mendapat dokumen.
“Saya sudah bincang dengan Menteri Dalam Negeri pagi tadi dan wakil JPN akan ke sini untuk mendaftar. Kita ada rekod, tidak ada kebimbangan takut orang bukan warganegara mungkin didaftarkan kerana kita ada rekodnya.
“Kita akan pastikan kita kembalikan sejarah kelahiran MyKid, Mykad, sejarah kematian, sejarah perkahwinan termasuk bukan Islam. Itu akan kita berikan dan kita tampung kosnya, tak perlu bayar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau menerima maklumat sebahagian besar mangsa kebakaran tidak mendaftar dengan pihak berwajib di lapangan kerana bimbang diambil tindakan undang-undang.
Berikutan itu, beliau menjelaskan sekarang bukan masa untuk kerajaan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan, sebaliknya menumpukan terhadap kebajikan mangsa kebakaran.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa setakat ini yang kita jaga keselamatan dan kebajikan mereka, bukanlah masa untuk kuatkuasa undang-undang. Kita nasihatkan mereka ikut proses mendaftar seperti biasa,” katanya. – Info X