TAWAU: Hanya kerana ditegur, seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila cuba menyerang bapa kandungnya menggunakan tukul besi dalam kejadian di Kalabakan, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa bagaimanapun sempat mengelak serangan suspek sebelum membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau bersama Balai Polis Kalabakan menjalankan operasi mengesan suspek.
Menurutnya, suspek lelaki warga tempatan berusia kira-kira 32 tahun berjaya ditahan di sebuah rumah di Pekan Kalabakan.
“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan. – Info X