Search

Terjun laut gagal, rokok seludup RM70,000 dirampas

April 26, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Cubaan nekad penyeludup meloloskan diri dengan terjun ke laut gagal apabila lebih 100,000 batang rokok seludup bernilai hampir RM70,000 dirampas dalam operasi di perairan Tanjung Sironggol, di sini, awal pagi tadi.

Rampasan itu dilakukan hasil kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Semporna bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menerusi rondaan Bot Cenderawasih 09 dalam Op Khas Cegah PATI (OCP) Covid-19 Sektor Timur dan Op Tiris 4.0 (Bersepadu).

Dalam operasi kira-kira jam 1.30 hingga 1.40 pagi itu, pasukan operasi mengesan dua bot enjin sangkut bergerak dalam keadaan mencurigakan pada jarak antara 0.5 hingga 0.6 batu nautika tenggara Tanjung Sironggol.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan cetek dengan meninggalkan bot bersama muatan.

Pemeriksaan kemudian menemukan tujuh kotak mengandungi rokok seludup pelbagai jenama.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM69,800 termasuk dua bot dan enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan sempadan perairan negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).