SUKAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turun padang meninjau sendiri kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di laluan antara Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau yang termasuk dalam pakej kerja WP25 sepanjang kira-kira 14.96 kilometer, di sini, pada Rabu.
Hajiji singgah meninjau perkembangan di pakej kerja WP25 dan mendengar taklimat tapak ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan ke Eastern Sabah Safety Zone (ESSZone).
Hajiji diiringi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri PlSafar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; selain pembantu pembantu menteri dan pegawai kanan kerajaan.
Ketua Menteri menegaskan keperluan penyelarasan segera antara agensi bagi memastikan pelaksanaan projek itu mengikut jadual dan tidak terus berdepan kelewatan.
Dalam taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Hajiji dimaklumkan status semasa projek WP25 yang ketika ini mencapai kemajuan fizikal 12.35 peratus berbanding sasaran jadual asal sebanyak 15.30 peratus, manakala kemajuan kewangan mencapai 11.52 peratus.
Pelaksanaan pakej kerja itu membabitkan kos RM269.9 juta dan dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan dengan tarikh penyiapan pada Februari 2028.
Antara komponen utama pembinaan termasuk persimpangan bertingkat (flyover), hentian bas, jambatan pejalan kaki serta sistem perparitan dan culvert bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Hajiji turut dimaklumkan mengenai beberapa kekangan utama di tapak yang menjejaskan kemajuan kerja, termasuk isu pengalihan utiliti, pengambilan tanah serta perobohan struktur sedia ada.
Masalah utiliti dikenal pasti antara faktor utama yang memperlahankan kerja tanah, di samping cabaran logistik dan akses sementara di kawasan projek.
Selain WP25, Ketua Menteri turut diberi taklimat perkembangan pakej berhampiran, iaitu WP24 yang melibatkan jajaran sepanjang 15.88 kilometer dari Sungai Takala ke Kampung Perpaduan Datuk Moh.
Bagi WP24, kemajuan fizikal setakat April 2026 direkodkan sekitar 15.60 peratus dengan sedikit kelewatan berbanding jadual asal.
Sehubungan itu, Hajiji menegaskan kepentingan penyelarasan berkesan antara semua agensi terlibat bagi menangani isu di tapak, termasuk mempercepatkan proses pengambilan tanah dan pengalihan utiliti supaya tidak menjejaskan garis masa pelaksanaan projek.
Beliau berkata, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B adalah antara inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menghubungkan kawasan utama di Pantai Timur Sabah.
“Kerajaan negeri komited memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat,” katanya. – Info X