Search

47 ayam sabung baka import dirampas di Semporna

May 6, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Kegiatan menternak dan menjual ayam sabung baka luar negara tanpa permit sejak tahun lalu tumpas selepas diserbu pihak berkuasa dalam operasi di Kampung Tanjong Kapor, di sini, semalam.

Dalam serbuan menerusi Operasi Intra/Inter Agensi (Op Bersepadu Khazanah-Op Taring Kandang) itu, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Batalion 22 PGA Kunak, operasi dijalankan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) Cawangan Semporna.

Menurut kenyataan itu, suspek dipercayai menjalankan aktiviti menternak dan menjual ayam sabung baka luar negara yang diseludup masuk tanpa permit sah sejak 2024.

“Ayam sabung terbabit dipercayai dijual pada harga mencecah sehingga RM8,500 seekor,” katanya.

Katanya lagi, pihak berkuasa turut merampas 47 ekor ayam jantan dan betina, peralatan gelanggang serta ubat-ubatan dipercayai dibawa masuk dari Thailand dan Filipina.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM288,650,” katanya.

Menurutnya, semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pihak JPVS Semporna untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015. – Info X