KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah mencatat pencapaian bersejarah pada 2025 apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM683 juta.
Jumlah itu membabitkan peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding RM586 juta jumlah keuntungan yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Mengumumkan pencapaian itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata di peringkat syarikat pula, cabang pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM243 juta, meningkat 35 peratus berbanding RM179 juta kutipan untung pada 2024.
Katanya, pencapaian ICSB itu juga adalah rekod keuntungan tertinggi dalam sejarah syarikat berkenaan.

“Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa keupayaan pengurusan serta komitmen seluruh pasukan telah menghasilkan prestasi yang sangat cemerlang. Syabas saya ucapkan,” katanya pada Malam Anugerah Yayasan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC), di sini, pada Rabu.
Ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata pada b2025, ICSB telah mengisytiharkan dividen berjumlah RM160 juta, meningkat tujuh peratus berbanding RM150 juta pada 2024.
“Ia adalah rekod pembayaran dividen tertinggi dalam sejarah ICSB. Pada masa yang sama, ICSB kekal sebagai GLC Sabah yang membayar dividen tertinggi di negeri ini bagi lima tahun berturut-turut.
“Kita optimis prestasi ini akan terus melonjak pada 2026 selaras dengan prestasi kewangan yang kukuh dan prospek perniagaan yang positif,” katanya.
Kejayaan itu, katanya digerakkan oleh kekuatan pelbagai sektor dalam kumpulan termasuk sektor agro-perladangan yang terus menjadi penyumbang terbesar dengan keuntungan gabungan RM323 juta, sekali gus kekal sebagai tonggak utama pendapatan kumpulan.

Katanya, sektor pelancongan dan riadah pula mencatat keuntungan sebanyak RM65 juta, mencerminkan perkembangan positif industri pelancongan Sabah.
“Lebih membanggakan, sektor minyak, gas dan tenaga menunjukkan lonjakan yang amat ketara dengan keuntungan RM40 juta, berbanding hanya RM0.07 juta pada 2024,” katanya.
Ends