TUARAN: Kegiatan menyimpan lebih 8,000 liter minyak diesel tanpa permit terbongkar selepas sebuah stor premis kuari di Kampung Kindu, Jalan Tuaran, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kelmarin.
Serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) itu dijalankan sepasukan penguat kuasa KPDN Cawangan Tuaran hasil risikan selama tiga hari terhadap premis berkenaan.
Ketua Cawangan KPDN Tuaran, Fredlee Sintau berkata, hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 8,155 liter minyak diesel disyaki disimpan di dalam sebuah skid tank.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk barang kawalan itu dianggarkan berjumlah RM54,093.10.
“Siasatan awal mendapati premis terbabit gagal mengemukakan lesen atau permit sah bagi penyimpanan barang kawalan berjadual.
“Seorang pekerja premis turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, KPDN akan terus mempergiat pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di negeri ini.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan barang kawalan dan tindakan tegas akan diambil,” katanya. – Info X