SEMPORNA: Sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Mesra, di sini, dipercayai dijadikan tempat menyimpan petrol untuk kegiatan penyelewengan sebelum diserbu pihak berkuasa, semalam.
Dalam operasi itu, sebanyak 7,850 liter minyak petrol disimpan di dalam 314 jeriken berjaya dirampas bersama dua bot laju serta dua enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda (hp) yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.

Rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM63,208.60.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima dua serahan kes rampasan tanpa tuan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) semalam
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati semua barang kawalan terbabit dipercayai diseleweng dan disimpan tanpa kebenaran sah.

“Susulan itu, KPDN Semporna membuka dua kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut,” katanya.
KPDN turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya tidak terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan kerana tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang. – Info X