SEMPORNA: Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China dihantar pulang ke negara asal selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi penguatkuasaan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
Semua PATI terbabit terdiri daripada 23 lelaki dan seorang wanita dewasa yang dihantar pulang pada 7 Mei lalu selepas ditahan menerusi Ops Kutip, Ops Mahir dan Ops Sapu di daerah ini pada 21 April lalu.
Dalam operasi berkenaan, seramai 45 individu diperiksa dengan 34 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua PATI yang ditahan terdiri daripada 33 warga China membabitkan 30 lelaki dan tiga wanita serta seorang lelaki warga Pakistan.
“Kesemua mereka disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua warga asing yang dihantar pulang turut disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, proses siasatan dan pendakwaan yang dijalankan pada 4 Mei lalu di Mahkamah Sesyen Tawau membabitkan sembilan PATI warga China.
Katanya, enam lelaki warga China dituduh mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala dua wanita dan seorang lelaki lagi didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) peraturan sama.
“Enam PATI yang dituduh di bawah Peraturan 39(b) tidak mengaku bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah sehingga kes disebut semula pada 11 Jun depan.
“Tiga lagi PATI mengaku bersalah dan membayar denda bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, namun tiada jaminan diberikan mahkamah bagi kesalahan di bawah Peraturan 39(b),” katanya.
JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan undang-undang imigresen negara terus dipatuhi. – Info X