KOTA KINABALU: Lapan individu termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan UMS berhampiran Kampung Delima Sulaman, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.29 petang itu, kemalangan membabitkan sebuah Toyota Fortuner, Proton Saga dan Proton Exora.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, seramai 11 anggota bersama jentera dari BBP Kota Kinabalu dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.50 petang dan mendapati terdapat lapan mangsa mengalami kecederaan akibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan EMRS, ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut.
Katanya, operasi yang diketuai PBK I Masri Gari ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.53 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. – Info X