Search

Curi kabel pencawang, suspek diberkas polis

May 10, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Kegiatan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes khianat dan kecurian kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd akhirnya terbongkar selepas dia diberkas polis dalam satu operasi di Menumbok.

Suspek lelaki tempatan itu dipercayai memecah masuk sebuah pencawang berhampiran Perkuburan Cina Kampung Asam Jawa, di sini sebelum meleraikan kabel serta komponen tembaga transformer hingga menyebabkan kerugian melebihi RM100,000.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai merosakkan kunci pencawang dan memutuskan bekalan elektrik sebelum mencuri kabel serta komponen tembaga di lokasi berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Beaufort berjaya menahan suspek dalam satu operasi di Jalan Kampung Melikai, Menumbok.

“Turut dirampas beberapa barang kes termasuk kabel dipotong, dawai, enjin sangkut Yamaha 40HP dan tong minyak petrol,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal turut mendapati suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes kecurian kabel di sekitar Beaufort dan Kuala Penyu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

“Polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mensabotaj kemudahan awam dan menjejaskan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Info X