BEAUFORT: Cubaan seorang lelaki melarikan diri daripada polis sambil bertindak agresif dengan melontar kabel dan melastik kenderaan pasukan polis berakhir dengan penahanannya dalam operasi di Jalan Bongawan, Papar.
Dalam kejadian itu, suspek lelaki tempatan berusia 20 tahun yang menaiki Proton Iswara bertindak memecut secara berbahaya selepas diarahkan berhenti sehingga mencetuskan aksi kejar – mengejar dari Pekan Beaufort ke Bongawan.
Suspek akhirnya berjaya ditahan hasil tindakan pantas anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Beaufort dengan kerjasama anggota Balai Polis Bongawan, IPD Papar.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek bersama beberapa individu lain turut bertindak agresif sepanjang cubaan meloloskan diri daripada pihak polis.
“Suspek dan individu lain dipercayai melontar kabel serta menggunakan lastik ke arah kenderaan pasukan polis ketika cuba melarikan diri.
“Kenderaan suspek bagaimanapun terbabas di bahu jalan sebelum dia melarikan diri ke kawasan belukar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek berjaya diberkas selepas operasi mengesan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Beaufort.
Katanya, polis turut merampas sebuah kenderaan, enam gulung kabel besar dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghalang tugas pihak berkuasa,” katanya. – Info X