KOTA KINABALU: Kemeriahan Borneo International Marathon 2026 dicemari insiden langgar lari membabitkan seorang peserta larian dan petugas RELA ketika acara itu berlangsung, semalam.
Kinabalu Running Club dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua mangsa yang cedera menerima rawatan segera daripada pasukan perubatan acara sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan pemerhatian.
Menurut kenyataan itu, ahli jawatankuasa penganjur turut menghubungi keluarga mangsa dan sedang memantau keadaan mereka selain memberi sokongan kepada individu yang terjejas.
“Perkara ini sudah dilaporkan kepada polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa berkaitan.
“Kami akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Penganjur turut menegaskan keselamatan pelari, sukarelawan, pegawai dan semua petugas acara sentiasa menjadi keutamaan utama sepanjang penganjuran acara berkenaan.
Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya diminta supaya menghormati penutupan jalan, langkah keselamatan maraton serta kehadiran pelari dan petugas ketika acara sukan berlangsung.
Dalam masa sama, Kinabalu Running Club turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan, anggota penguat kuasa, sukarelawan dan orang awam yang bertindak pantas membantu ketika kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan berhubung insiden berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengesan pihak yang terbabit. – Info X