LAHAD DATU: Empat rumah di Kampung Sepagaya, di sini, musnah dan rosak dalam kebakaran, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, dua rumah dilaporkan musnah sepenuhnya manakala dua lagi mengalami kerosakan sebahagian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, seramai 11 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Fire Rescue Vehicle (FRV) dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 12.55 tengah hari, pasukan mendapati kebakaran membabitkan empat rumah dua tingkat.
“Rumah pertama jenis separuh kekal berkeluasan 40×40 kaki dan rumah kedua jenis tidak kekal berukuran 30×40 kaki musnah 100 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, dua lagi rumah masing-masing jenis separuh kekal dan rumah kekal berukuran 50×40 kaki hanya mengalami kebakaran kira-kira 10 peratus.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada jentera bomba.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini dan operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X