Search

Warga Korea antara 28 PATI ditahan dalam operasi JIM Sabah

May 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang warga Korea antara 28 warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi penguatkuasaan di Keningau, Kota Kinabalu dan Kudat.

Operasi membabitkan Ops Sapu, Ops Belanja dan Ops Pintu itu dijalankan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta warga asing yang melanggar syarat imigresen negara.

Di Kota Kinabalu, seramai 22 individu diperiksa dalam operasi berkenaan sebelum enam warga asing ditahan terdiri daripada warga Filipina, Indonesia, Pakistan dan Korea atas pelbagai kesalahan imigresen.

Sementara itu di Keningau, Ops Sapu yang dijalankan memeriksa 92 individu sebelum menahan 16 warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas.

Tangkapan di daerah itu membabitkan lima warga Filipina terdiri seorang lelaki dewasa, dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Turut ditahan 11 warga Indonesia membabitkan lima lelaki dewasa, dua wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Di Kudat pula, seramai 24 individu diperiksa dalam Ops Sapu dengan enam warga Filipina ditahan membabitkan dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

JIM Sabah berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI selain memastikan undang-undang imigresen negara sentiasa dipatuhi. – Info X