SEREMBAN: Kontinjen belia Sabah sekali lagi mencipta rekod apabila menghantar seramai 500 peserta ke Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 di X Park Sendayan, di sini, sekali gus muncul kontinjen dengan penyertaan tertinggi pada acara berkenaan.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan, berkata jumlah itu membuktikan komitmen berterusan belia Sabah dalam menyahut agenda pembangunan belia di peringkat kebangsaan.
Beliau berkata, penyertaan besar yang direkodkan itu bukan perkara baharu kerana Sabah secara konsisten mencatat kehadiran tertinggi setiap kali sambutan HBN diadakan di negeri tuan rumah.

“Saban tahun kontinjen belia Sabah mencatatkan penyertaan tertinggi di setiap sambutan HBN yang diadakan di negeri-negeri terpilih sebagai tuan rumah.
“Ini membuktikan komitmen berterusan belia Sabah yang turut didokong kerajaan negeri dalam usaha membangunkan golongan belia di peringkat kebangsaan,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.
Pada masa sama, beliau berharap kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat meningkatkan komitmen terhadap pembangunan belia di Sabah yang kini mempunyai populasi kira-kira 2.2 juta penduduk.
Menurutnya, keperluan belia di Sabah perlu diberikan perhatian lebih menyeluruh khususnya dalam aspek pembangunan kapasiti dan peluang yang boleh memberi impak jangka panjang kepada negeri.
“Harapan kita kepada kerajaan Persekutuan khususnya KBS agar komitmen pembangunan belia Sabah dapat dipertingkatkan terutama dalam aspek yang menyentuh keperluan belia di negeri ini.
“Sokongan dalam bentuk geran pembangunan keusahawanan, kesukarelawanan, kepimpinan, sukan dan teknologi adalah antara keperluan utama belia Sabah yang juga mampu memberi impak positif kepada pembangunan negeri dalam jangka panjang,” katanya.
Terdahulu, kontinjen Sabah diketuai Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu ke sambutan HBN 2026 yang berlangsung di X Park Sendayan, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir pada sambutan berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; Datuk Seri Dr Anil Sandhu serta Abqaree Fawwaz Abekan. – Info X