PAPAR: Seorang buruh kasar dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 12 bulan dan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan melakukan kekerasan jenayah membabitkan lima pelajar perempuan di sekitar Kinarut, awal bulan ini.
Tertuduh, Najir Kuati, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Papar, di sini, hari ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan jenayah itu terhadap lima mangsa berusia antara tujuh hingga 14 tahun pada 4 Mei lalu, di beberapa lokasi sekitar SMK Kinarut, Klinik Kesihatan Kinarut dan Skim Penempatan Kinarut.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menarik tangan kanan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun tanpa kerelaan pada jam 10.30 pagi berhampiran Klinik Kesihatan Kinarut.
Atas kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh sekali lagi didakwa menarik tangan kanan seorang lagi pelajar perempuan berusia 13 tahun di lokasi sama kira-kira jam 10.50 pagi sebelum dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar.
Menerusi pertuduhan ketiga pula, lelaki itu didakwa menarik tangan kiri seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di tepi jalan hadapan Skim Penempatan Kinarut pada jam 11.10 pagi, lalu dihukum penjara tiga bulan dan denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh turut didakwa memeluk seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun tanpa kerelaan berhampiran SMK Kinarut pada jam 11.20 pagi dalam pertuduhan keempat dan dihukum penjara dua bulan serta denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayarnya.
Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa menarik tangan kanan seorang lagi pelajar perempuan berusia 13 tahun di simpang Taman Sri Juta Kinarut pada jam 10.50 pagi sebelum dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dalam kelima-lima pertuduhan.
Mahkamah turut memerintahkan semua hukuman penjara dijalankan secara berasingan.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Amir Khuzairi Ahmad manakala kes disiasat oleh Inspektor Desmond Tanggapan bersama pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar yang berjaya melengkapkan siasatan sehingga tertuduh didakwa dan dijatuhi hukuman hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki didakwa mengganggu pelajar sekolah yang sedang menunggu bas di kawasan Kinarut sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai. – Info X