LABUAN: Polis Labuan sedang menyiasat kejadian kebakaran sebuah lori di kawasan parkir lori Labuan Fisheries, Jalan Ujong Pasir, di sini, tengah malam tadi, yang dipercayai mempunyai unsur khianat.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, sebuah lori jenis Isuzu milik syarikat tempatan dilaporkan terbakar di bahagian hadapan ketika diletakkan di kawasan parkir terbuka berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Robin @ Ridzuan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung kejadian itu daripada orang awam sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Menurutnya, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut berada di lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh singkat.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, namun lori berkenaan mengalami kerosakan teruk dengan anggaran kerugian sekitar RM100,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah kawasan terbuka yang boleh diakses orang awam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga denda,” katanya.
Menurutnya lagi, polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan laporan forensik kebakaran daripada JBPM selain mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Labuan atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X