Search

JPJ Sabah sita dua kenderaan mewah dalam Ops Luxury

May 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah terus mempergiat Ops Luxury apabila menyita dua kenderaan mewah jenis Toyota Land Cruiser dan BMW X5 di dua lokasi berasingan di Sabah serta Labuan, hari ini.

Toyota Land Cruiser berkenaan disita di Jalan Lintas, Kepayan, Kota Kinabalu selepas dikesan menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selain tidak memiliki perlindungan insurans yang sah.

Sementara itu, sebuah BMW X5 pula disita di Jalan Merdeka, Wilayah Persekutuan Labuan atas kesalahan menggunakan LKM tamat tempoh.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, kedua-dua kesalahan itu melanggar peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) mengikut Seksyen 23(1), manakala kes Toyota Land Cruiser turut membabitkan Seksyen 90(1).

“Semua kenderaan terbabit disita untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Operasi ini akan diteruskan secara berterusan dan JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan mahkamah terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya,” katanya menerusi kenyataan media, malam ini.

Menurutnya, semua pemilik kenderaan diingatkan supaya memastikan LKM dan insurans sentiasa aktif bagi melindungi pengguna jalan raya selain memastikan pematuhan undang-undang demi keselamatan bersama. – Info X