KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menggagalkan cubaan pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM3 juta menerusi tiga rampasan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Tawau dan Gudang Pos Aviation Kota Kinabalu, awal bulan ini.
Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan terbesar membabitkan 57.27 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine bernilai RM2.86 juta menerusi Ops Tuai pada 11 Mei lalu.
Katanya, kira-kira jam 1.35 petang, pegawai bertugas membuat pemeriksaan bagasi di LTA Tawau sebelum imej imbasan mengesan kandungan mencurigakan di dalam empat bagasi di Gudang Pos Aviation.
“Pasukan daripada Cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau kemudian menjalankan pemeriksaan fizikal dan menemukan 142 beg plastik kedap udara berzip mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 57.27 kilogram dengan nilai RM2,863,500,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, sindiket dipercayai menggunakan perkhidmatan penghantaran kurier dengan menyembunyikan dadah di dalam beg plastik sebelum dimasukkan ke dalam bagasi dan dihantar ke Tawau.
Dalam kes kedua, Ahmad Taufik berkata, Cawangan Narkotik JKDM Sabah merampas satu bungkusan disyaki mengandungi 4,678 gram methamphetamine bernilai RM233,900 di Gudang Pos Aviation Kota Kinabalu pada 11 Mei lalu.
Katanya, rampasan dilakukan kira-kira jam 1 tengah hari sebelum bungkusan terbabit dibawa ke Wisma Penguatkuasaan Sabah untuk siasatan lanjut.
“Sindiket dipercayai memasukkan dadah ke dalam bungkusan berwarna putih sebelum disimpan di dalam kotak dan dihantar ke Semporna menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, satu lagi rampasan dilakukan pada 8 Mei lalu membabitkan 375 gram pil ekstasi bernilai RM56,250 di Gudang Pos Aviation Kota Kinabalu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bungkusan berkenaan dilabel sebagai set barangan elektronik bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan,” katanya.
Ahmad Taufik berkata, JKDM Sabah akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah di negeri ini.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran. – Info X