TAMBUNAN: Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas yang keluar menjala ikan sejak petang kelmarin terjawab apabila mangsa ditemukan meninggal dunia di bawah jambatan gantung Sungai Nouduh, Kampung Nouduh, di sini, pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Markus @ Marchous Antigang, 74, ditemukan di bawah jambatan gantung Sungai Nouduh kira-kira jam 9.42 pagi oleh anaknya sendiri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Darren John berkata, operasi hari kedua dijalankan di lokasi pada jam 8.04 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan bersama agensi penyelamat lain serta penduduk kampung.
“Operasi pencarian dijalankan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air sejauh radius 4.7 kilometer.
“Mangsa kemudian ditemukan di bawah jambatan gantung Sungai Nouduh dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Tambunan oleh pihak polis untuk pengesahan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi.
Operasi membabitkan 12 anggota BBP Tambunan bersama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS), bomba komuniti serta penduduk kampung.
Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tambunan pada jam 8 pagi semalam berhubung kehilangan mangsa.
Mangsa dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang pada 18 Mei lalu untuk menjala ikan di sungai berhampiran namun tidak pulang ke rumah. – Info X