KOTA KINABALU: Dakwaan berhubung kewujudan “Kg Asaon” serta tindakan pihak yang mengaku sebagai Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam isu tanah kerajaan di Matunggong didakwa hanya mengeruhkan keadaan apabila kawasan berkenaan bukan sebuah kampung yang pernah diwartakan secara rasmi.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N5 Matunggong, Alexyus Matius berkata, kawasan terbabit sememangnya telah lama diketahui sebagai tanah kerajaan yang diperuntukkan bagi tujuan pembangunan Matunggong pada masa hadapan dan bukannya kawasan penempatan kampung yang sah.
Beliau berkata, tindakan pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan terhadap pondok-pondok yang dibina secara tidak sah di kawasan itu juga wajar disokong demi memastikan undang-undang serta peraturan berkaitan tanah kerajaan terus dipatuhi.
“Sebagai anak watan Matunggong, saya merasakan tanggungjawab untuk tampil menjelaskan perkara ini berdasarkan fakta sebenar di lapangan.
“Ia bukan soal mempertahankan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan masyarakat menerima maklumat tepat dan tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, penduduk di kampung berhampiran termasuk Kampung Tuid, Kampung Hobut dan Kampung Sumangkap amat memahami sejarah serta status sebenar tanah berkenaan kerana kawasan itu sememangnya diketahui sebagai milik kerajaan.
Katanya, penduduk setempat juga sedia maklum bahawa tanah berkenaan bukan tanah adat persendirian seperti yang cuba digambarkan pihak tertentu.
Beliau percaya isu berkenaan tidak akan menjadi semakin tegang sekiranya tiada campur tangan pihak luar yang tidak memahami latar belakang serta fakta sebenar berkaitan kawasan tersebut.
Mengulas penglibatan pihak yang didakwa terdiri daripada mahasiswa UMS, Alexyus berpandangan golongan mahasiswa sebagai kelompok intelektual perlu mendapatkan fakta tepat terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Sekiranya benar mereka adalah mahasiswa, mereka sepatutnya merujuk kepada pihak berwajib terlebih dahulu supaya maklumat yang disampaikan kepada masyarakat berasaskan fakta, profesional dan bertanggungjawab.
“Mahasiswa tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan naratif pihak tertentu tanpa memahami sejarah dan kedudukan sebenar sesuatu isu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menepis cubaan mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki dalam isu berkenaan.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat kawasan, Julita sudah tentu memahami sejarah, status serta kedudukan sebenar tanah berkenaan selain lebih arif mengenai perancangan pembangunan dan proses pentadbiran tanah di Matunggong.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya tidak membuat tuduhan melulu atau memainkan sentimen tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keharmonian kawasan.
Katanya, semua pihak juga perlu menghentikan penyebaran fitnah dan provokasi, sebaliknya menghormati proses undang-undang serta tindakan pihak berkuasa demi menjaga kepentingan pembangunan dan kestabilan Matunggong pada masa hadapan. – Info X