Search

Dua wanita ditahan bersama dadah di Penampang

May 21, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Dua wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam di hadapan sebuah premis di Penampang Baru, sepasukan polis dari JSJN IPK Sabah menahan seorang wanita berusia 21 tahun dalam keadaan mencurigakan.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemukan dua paket plastik berisi serbuk disyaki ekstasi seberat 73.67 gram, ketamin seberat 2.62 gram serta sebiji pil disyaki ekstasi.

“Susulan tangkapan itu, polis kemudian menahan seorang lagi wanita berusia 25 tahun di sebuah premis hiburan di Penampang Baru.

“Pemeriksaan lanjut di bilik sewa suspek kedua di Taman Penampang bagaimanapun tidak menemukan sebarang barang salah lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh daripada rangkaian pengedaran tempatan yang aktif menjalankan kegiatan di kawasan hiburan sekitar Penampang.

Beliau berkata, kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis ketamin dan benzodiazepine hasil ujian saringan awal air kencing.

Katanya, polis turut merampas dua telefon bimbit jenis iPhone dan keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM1,800.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Info X