SEMPORNA: Cubaan menyeludup 2,425 liter minyak petrol dipercayai ke negara jiran gagal selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna berjaya merampas bahan api itu dalam satu operasi di kawasan laut Terumbu Pasalat berhadapan Pulau Igang-Igang, di sini, semalam.
Rampasan tanpa ‘tuan’ itu kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).
KPDN dalam kenyataan hari ini berkata, semua minyak petrol berkenaan disimpan di dalam 97 tong dan dipercayai cuba diseludup menggunakan sebuah bot kayu bersama enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda.
“Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM9,869.75 manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk barang bukan kawalan dianggarkan RM19,275.

“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, KPDN akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya di kawasan perairan Semporna.
Katanya, pihak yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuk denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama. – Info X