Search

Pemandu Hilux lari selepas rempuh warga emas

May 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan pemandu sebuah Toyota Hilux berwarna hitam yang dipercayai terbabit dalam kemalangan maut membabitkan seorang pejalan kaki warga emas di Jalan Sepanggar berhampiran Kampung Sepakat Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.25 petang itu, mangsa lelaki berusia 69 tahun dilaporkan sedang melintas jalan dari arah kanan ke kiri untuk menuju ke kawasan Indah Permai sebelum dirempuh kenderaan terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux berkenaan sedang bergerak di lorong kiri jalan ketika kejadian berlaku.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Likas pada jam 4.56 petang.

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan terbabit dipercayai melarikan diri sejurus selepas kemalangan berlaku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota polis mengangkat mayat mangsa ke kenderaan polis untuk dihantar ke HQE.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Brymenderen Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X