Search

Rumah, kereta musnah dalam kebakaran di Manggatal

May 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebuah rumah jenis separuh kekal dan sebuah kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Kampung Taman Kemas, Kampung Dombung, Manggatal, di sini, pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.38 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi.

Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 7.46 pagi selepas yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari BBP.

“Sebaik tiba di lokasi, pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 30 x 40 kaki persegi yang sudah terbakar hampir keseluruhannya.

“Turut terjejas dalam kejadian itu ialah sebuah kenderaan jenis Kia Citra yang diparkir berhampiran rumah berkenaan dan turut musnah sepenuhnya akibat kebakaran.

“Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki jentera bomba bagi mengawal api daripada terus marak,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.52 pagi sebelum operasi diteruskan bagi kerja-kerja pemadaman sisa kebakaran serta pemeriksaan keselamatan di lokasi.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di kawasan kejadian.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu dan setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya lagi. – Info X