Search

Warisan sokong cadangan jawatankuasa dwipartisan, lima perkara kritikal perlu ditambah – Assaffal

May 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Parti Warisan mengesyorkan lima tambahan perkara bagi menyokong cadangan penubuhan jawatankuasa dwipartisan untuk membincangkan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal P Alian, ketika mengulas kenyataan Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai mengenai perkara itu, berkata tambahan perkara yang dicadangkannya bertujuan memastikan jawatankuasa itu mempunyai hala tuju teknikal dan berfakta.

“Saya merujuk kepada kenyataan YB Datuk Joniston Bangkuai yang mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa dwipartisan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi membincangkan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya memuji semangat beliau yang mengakui bahawa perjuangan ini melangkaui perbezaan ideologi politik demi kepentingan rakyat.

“Walau bagaimanapun, bagi memastikan jawatankuasa ini mempunyai hala tuju yang teknikal dan berfakta, saya mengesyorkan beberapa penambahan kritikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pertama, katanya jawatankuasa itu perlu menyemak semula pengambilalihan undang-undang Sabah (LN 199/1965)

“Jawatankuasa ini mesti meneliti secara khusus Warta Persekutuan L.N. 199/1965 [Modification of Laws (Declaration of Federal Present Laws) (Sabah) Order, 1965]. Melalui perintah ini, sebanyak 120 undang-undang sedia ada Sabah (Sabah Present Laws), termasuk yang berkaitan dengan hasil negeri, buruh dan sumber asli seperti The Petroleum Ordinance 1960 dan The Customs Ordinance telah diisytiharkan sebagai undang-undang Persekutuan.

“Kita perlu mempersoalkan sama ada pengisytiharan secara borong ini masih relevan atau ia sebenarnya telah menghakis kuasa autonomi Sabah yang sepatutnya dilindungi di bawah MA63. Ini bukan sekadar soal 40 peratus hasil, tetapi soal pemulangan kuasa perundangan yang telah ‘difederalkan’ sejak 16 April 1965,” katanya.

Assffal berkata, perkara kedua yang perlu dilakukan ialah menetapkan garis masa selama 60 hari sebagai tanda keseriusan untuk menuntut hak Sabah.

“Saya mencadangkan agar jawatankuasa ini diberi tempoh 60 hari untuk membentangkan laporan awal. Rakyat Sabah kini lebih berilmu tentang MA63 dan mereka mahukan tindakan yang pantas,” katanya.

Seterusnya, beliau berkata perkara ketiga perlu mengambil kira solidariti Wilayah Borneo (Sabah dan Sarawak), iaitu kerjasama kedua-dua negeri dalam menuntut hak masing-masing.

“Berdasarkan dokumen yang sama, Sarawak juga tertakluk kepada perintah serupa melalui LN 200/1965. Oleh itu, saya mengajak Kerajaan Negeri untuk menggerakkan usaha ini bersama Sarawak. Sebagai dua Wilayah pembentuk Malaysia, suara kolektif kita akan menjadi blok yang lebih kuat untuk mendesak Putrajaya,” katanya.

Assffal berkata, perkara keempat yang perlu ditambah dalam jawatankuasa dwipartisan itu iapah berkaitan gerak kerja berstruktur, dari DUN ke Parlimen.

Tegasnya, hasil kajian jawatankuasa itu mestilah dibawa ke DUN Sabah untuk dijadikan usul rasmi bagi memberi mandat perundangan yang kuat.

“Ia mesti digerakkan oleh MP Sabah, termasuk Ahli Parlimen Warisan seperti YB Isnaraissah Munirah Majilis, untuk dibawa ke Dewan Rakyat sebagai suara rasmi rakyat Sabah,” katanya.

Yang terakhir, katanya perkara kelima berkaitan ultimatum legitimasi Persekutuan yang menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan harus diingatkan bahawa MA63 bukan sebuah ‘hadiah’ tetapi ia adalah syarat utama pembentukan Malaysia.

“Jika syarat-syarat asal dan kuasa perundangan Sabah yang diambil melalui instrumen seperti LN 199/1965 ini tidak dikaji semula secara adil, maka ia akan menyentuh soal legitimasi semangat Persekutuan itu sendiri.

“Parti Warisan bersedia bekerjasama demi memastikan hak Sabah dikembalikan ke kedudukan asalnya seperti yang termaktub sebelum Malaysia terbentuk,” katanya. – Info X