Search

53 finalis Unduk Ngadau Kaamatan Sabah 2026 berentap, format baharu diperkenalkan

May 26, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Penganjuran Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 tampil dengan beberapa pembaharuan termasuk penambahan jumlah peserta ke pusingan seterusnya serta sistem penilaian dua peringkat bagi memperkukuh ketelusan dan memberi lebih ruang kepada peserta menyerlahkan potensi masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Dr. Mary Gambidau berkata, seramai 53 finalis mewakili daerah-daerah dan cawangan Kadazandusun Cultural Association (KDCA) termasuk penyertaan dari Semenanjung Malaysia akan berkampung di Hilton Kota Kinabalu bermula hari ini sehingga malam kemuncak pertandingan.

Beliau berkata, pentas akhir Unduk Ngadau Kaamatan akan berlangsung pada 31 Mei ini di Hongkod Koisaan KDCA dengan kesemua finalis bakal bersaing merebut gelaran berprestij berkenaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 25 finalis terbaik akan mara ke pusingan seterusnya berbanding hanya 15 peserta pada tahun-tahun sebelumnya.

“Penambahbaikan ini diperkenalkan bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada peserta untuk menonjolkan potensi, personaliti serta kemampuan masing-masing,” katanya pada Sidang Akhbar Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, pada Selasa.

Menurut beliau, pihak penganjur turut memperkenalkan sistem penilaian dua peringkat yang akan dimulakan sepanjang Minggu Unduk Ngadau bermula hari ini menerusi pelbagai aktiviti dan sesi penilaian dalaman sebelum diteruskan pada malam kemuncak.

Katanya, sepanjang tempoh itu, semua finalis akan menjalani beberapa sesi rasmi termasuk temu bual berkaitan pengetahuan budaya serta adat, selain menyertai Pertandingan Filem Pendek CAN yang mengetengahkan tema “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan peserta bukan sahaja dinilai berdasarkan penampilan, malah kefahaman mereka terhadap budaya, warisan dan nilai masyarakat Sabah.

Bagi memastikan proses penghakiman berlangsung secara lebih telus dan profesional, pihak penganjur turut memperkenalkan rubrik pemarkahan khusus sebagai panduan rasmi kepada panel juri.

“Menerusi rubrik ini, proses penilaian akan menjadi lebih adil, profesional dan telus dengan fokus sepenuhnya diberikan kepada kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Dr Mary berkata, Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan ratu cantik, sebaliknya platform penting dalam memperkasakan wanita muda sebagai duta budaya, warisan dan komuniti Kadazandusun serta masyarakat Sabah secara keseluruhannya.

Beliau berkata, pemenang Unduk Ngadau Kaamatan 2026 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 selain tajaan biasiswa pendidikan, saringan kesihatan, produk kecantikan serta pelbagai hadiah lain daripada penaja dan rakan strategik.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan sokongan terhadap penganjuran acara berkenaan termasuk penaja utama tahun ini, Sawit Kinabalu.

Katanya, sokongan pelbagai agensi, organisasi, rakan media dan individu membantu memastikan Unduk Ngadau Kaamatan terus kekal relevan, dihormati dan menjadi kebanggaan rakyat Sabah.

Beliau turut berharap masyarakat terus memberikan sokongan kepada semua finalis serta bersama-sama memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan tahun ini.

Antara peserta yang bakal berentap ialah wakil Papar, Gelvia Vanessa Binti Jenny; Tungku (Mary-An P. Calica); Tambunan (Natalia Jinui); Tongod (Anne Theresse Justin Sentian); Membok (Yhylensiska Verron Johnny); Tanjung Aru (Joyce Nia David); Matunggong (Criszelbekillah Lorris); Banggi (Lora Derlina Lisa Jusley); Inanam (Esmerrellda Capry Clement); Nabawan (Sahira Samson); Sook (Myra Evana Robert); Kinabatangan (Vrenda Joaan Deftenev Tajipaul); Tawau (Elvyra Edna Robert); Bingkor (Alysheron Matiusiong); Pulau Pinang (Jeraahfinah Jonis); Karambunai (Natalie Ally Hepeni); Telupid (Cyra Eva Bella Stephen); Pagalungan (Kerishine Danil); Kudat (Feyrashandy Hanlin Hanis) dan Likas (Ally Denis).

Turut bersaing ialah wakil Lahad Datu, Caesyzli Liakiv; Beluran (Dyann Dharlia Dominic); Sipitang (Hilda Iaynissa Godwin Patin); Melaka (Clarissa Jane Ahap Fred Michael); Sandakan (Ceelca Reeka Mosungin); Putatan (Amber Weysha Walter John); Perak (Valerieana Karen Aldrin); Bandaraya Kota Kinabalu (Liane Melve Grace Lias); Beaufort (Fedelia Liviana Venchin); Ranau (Christobelle Masius); Kunak (Rachel Justin); Membakut (Dorna Mayra Michael); Kapayan (Vivi Yana Jenny); Johor (Josephine Magdaline Joseph); Keningau (Edreen Lynn Edward) dan Bandaraya (Felecity Chen Sing Yee).

Selain itu, wakil Tamparuli, Evyanarey Larry; Kalabakan (Christine Dionysius); Kuala Penyu (Lorina Brettey Johnny); Kota Marudu (Aelvereny Vahidin @ Yahidin); Wilayah Persekutuan Labuan (Sera-Vian Japrin); Pitas (Jean Christabeth Yusevender); Kota Belud (Althea Tan Pin Yan); Wilayah Persekutuan Putrajaya (Wendy Merylen S. Jasmin); Paitan (Candycyci Liakim); Kemabong (Venica Tubuh Pauzin); Tenom (Radhia Ifa Yanie Metier); Tuaran (Juje Eloro Francis); Semporna (Adylfee Arisen); Penampang (Gadrette Gregory); Klang Valley (Finafayena Primus); Kiulu (Catsween Su Sun Ping) dan Sarawak (Deanera Clarissa Jamidin) turut bakal merebut gelaran berprestij Unduk Ngadau Kaamatan 2026. – Info X