Search

JPJ Sabah perketat penguatkuasaan sempena Aidiladha

May 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah memperketat penguatkuasaan menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) bermula 24 hingga 31 Mei ini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan kelancaran trafik, meningkatkan pematuhan peraturan jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan dan kematian.

Katanya, operasi berkenaan memberi fokus terhadap sembilan kesalahan utama yang sering menjadi punca kemalangan maut di jalan raya.

“Antara kesalahan diberi tumpuan ialah memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan serta tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar.

“Turut diberi perhatian ialah kesalahan memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, membawa lebih muatan bagi kenderaan berat dan memandu secara berbahaya,” katanya semasa sidang media di sini.

Menurutnya, pasukan penguat kuasa diarahkan meningkatkan tahap Perception Of Being Caught (POBC) di 18 Point of Duty (POD) seluruh Sabah yang dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlaku kemalangan.

“Tindakan penguatkuasaan dibuat secara bersasar menerusi rondaan, penyamaran, pemeriksaan mengejut dan pendekatan fizikal secara tegas serta berhemah.

“Pasukan penguat kuasa juga bersedia membantu pengguna jalan raya sekiranya berlaku kerosakan kenderaan atau kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang operasi Aidiladha ini tiada sekatan perjalanan dikenakan terhadap kenderaan perkhidmatan barangan.

Bagaimanapun katanya, pengusaha kenderaan perkhidmatan barangan diingatkan supaya mematuhi syarat permit dan tidak membawa muatan berlebihan.

“Dalam tempoh operasi bermula 24 hingga 26 Mei lalu, sebanyak 4,243 kenderaan diperiksa dengan 481 daripadanya dikenakan tindakan manakala 11 kenderaan disita.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 21 Mei tahun ini pula, JPJ Sabah memeriksa 227,235 kenderaan dengan 21,339 kenderaan persendirian, 6,294 kenderaan perkhidmatan barangan dan 633 kenderaan perkhidmatan awam dikenakan tindakan.

“Tiga kesalahan utama direkodkan sepanjang tempoh itu ialah cukai jalan tamat tempoh sebanyak 11,421 kes, tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh sebanyak 11,038 kes serta tiada perlindungan insurans membabitkan 8,029 kes,” katanya.

Dalam pada itu katanya, JPJ Sabah turut meneruskan Ops Luxury terhadap pemilik kenderaan mewah yang gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans.

“Sehingga kini, sebanyak 34 kenderaan mewah pelbagai jenama termasuk BMW, Porsche, Audi, Mercedes Benz, Toyota Supra dan Lexus disita dalam operasi berkenaan.

“Operasi ini diteruskan bagi memastikan semua pemilik kenderaan mewah mematuhi peraturan jalan raya termasuk memperbaharui LKM dan insurans.

“Selain penguatkuasaan, JPJ Sabah turut mempergiat advokasi keselamatan jalan raya menerusi kempen “Pandu Cermat, Sampai Selamat” membabitkan lebih 50 program seperti pameran, ceramah kesedaran, edaran kit keselamatan jalan raya dan kerjasama bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sabah (MKJR) serta pihak media,” katanya. – Info X