KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memiliki 25 peratus kepentingan dalam Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR) melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangi dengan PETRONAS sebelum ini.
Kepentingan dalam SAMUR atau PETRONAS Chemicals Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PCFSSB) itu dimiliki menerusi syarikat pelaburan tenaga milik penuh kerajaan negeri, SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy).
Menerusi satu kenyataan pada Selasa, SMJ Energy menegaskan sejak menandatangi Share Purchase Agreement (SPA) pada 25 April 2023, Sabah menerima pulangan kewangan yang konsisten daripada pembabitan ekuiti strategik dalam SAMUR, dengan dividen mengalir terus ke dalam pendapatan negeri melalui SMJ Energy untuk manfaat rakyat Sabah.
Berikutan itu, jelasnya dakwaan kononnya Sabah menerima kurang daripada yang sepatutnya daripada Projek SAMUR adalah tuduhan yang tidak berasas.
“Untuk mencadangkan bahawa Sabah menerima ‘kurang daripada apa yang patut’ daripada SAMUR adalah tidak berasas kerana ia tidak menghiraukan usaha Kerajaan Negeri, terma komersial yang menguntungkan dan keputusan strategik yang berjaya mendapatkan pemilikan Sabah dalam satu daripada aset petrokimia terpenting di rantau ini,” katanya.
Syarikat itu menjelaskan, SAMUR hari ini diiktiraf sebagai fasiliti baja granular tunggal terbesar di Asia Tenggara dan kilang ketiga terbesar di rantau Asia Pasifik.
Katanya, ia dibina di Sabah dan dikuasakan gas Sabah, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai pemain penting dalam industri petrokimia dan baja di wilayah ini.
“Kesan positif SAMUR melangkaui kilang itu sendiri. Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dengan SAMUR sebagai projek utamanya, dapat menarik pelaburan dan menjana peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dalam bidang kejuruteraan, logistik, infrastruktur, perumahan, hospitaliti dan perkhidmatan teknikal.
“Ini akan menggandakan dan meningkat lebih banyak pada masa akan datang. Pembangunan ini mewakili jangka panjang, pertumbuhan berasaskan tempat yang peningkatannya dirasai komuniti di Sipitang dan rantau yang lebih luas,” katanya.
SMJ Energy turut mengulangi komitmennya dalam memastikan kerajaan negeri akan terus mengetengahkan pelaburan strategik dan mengukuhkan kerjasama dengan PETRONAS dan pemain industri lain bagi memastikan sumber alam Sabah terus menjana nilai jangka panjang dan manfaat ekonomi mapan untuk rakyat Sabah. – Info X