KOTA MARUDU: Seorang lelaki dipenjara tiga tahun dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menyebabkan kematian dan memiliki senjata api ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, pada Selasa.
Tertuduh, Ladimin Korong @ Kalong, 57, masing-masing didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 di hadapan Majistret A Akhiruddin Acho.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara dua tahun selepas mengaku bersalah dengan cuai menyebabkan kematian Jiblon Alimin.
Tertuduh juga diarah membayar pampasan RM10,000 kepada keluarga simati dan jika gagal berbuat demikian, tertuduh akan dipenjara selama enam bulan lagi.
Kemudian, bagi pertuduhan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun kerana memiliki senjata api tanpa lesen yang sah.
Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 berjalan secara berasingan, iaitu setelah tertuduh selesai menjalani hukuman dua tahun penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, pada petang 19 Mei lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menerima laporan polis berkaitan seorang lelaki warga tempatan berumur 20 tahun meninggal dunia di kawasan hutan berhampiran Kampung Bambangan, Kota Marudu akibat terkena tembakan.
Berikutan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Kota Marudu melaksanakan tangkapan terhadap seorang suspek lelaki warga tempatan berumur 57 tahun.
Turut dirampas selaras senjata api buatan sendiri atau bakakuk daripada suspek dan suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
Kertas siasatan yang telah dilengkapkan kemudian dirujuk ke Jabatan Peguam Negara sebelum tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kota Marudu pada Selasa, 26 Mei 2026. – Info X