Search

Tergelincir ketika memancing, kanak-kanak ditemukan lemas

May 28, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air ketika memancing bersama rakannya di Kampung Masangkong, di sini, petang tadi.

Mangsa dikatakan memancing di kawasan tali air yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya sebelum dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam air.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak bomba pada jam 6 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa keluar memancing bersama rakannya kira-kira jam 5 petang sebelum kejadian berlaku.

“Rakan mangsa kemudian berlari pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga mangsa.

“Bapa saudara mangsa kemudian pergi ke lokasi kejadian sebelum berjaya menarik mangsa naik ke darat dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Menurutnya, pasukan perubatan Hospital Kudat tiba di lokasi kejadian sebelum menjalankan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada tubuh mangsa,” katanya.

Mohd Haris berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kudat untuk tindakan lanjut.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Info X