Search

Polis tahan tujuh pelajar kes belasah pelajar perempuan

May 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai tujuh pelajar sekolah menengah ditahan bagi membantu siasatan susulan video tular melibatkan kes membelasah pelajar perempuan, sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, semua pelajar berkenaan ditahan kira-kira jam 3 petang tadi.

“Tangkapan melibatkan enam pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki berusia lingkungan 15 hingga 17 tahun.

“Pelajar lelaki ditahan dipercayai bertindak sebagai individu merakam keseluruhan kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pihak polis menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan selepas menerima laporan polis yang dibuat mangsa sendiri pada sehari selepas kejadian.

Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada kira-kira jam 8 pagi, 22 Mei lalu apabila mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima orang pelajar perempuan.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri.

Semua pelajar yang terlibat dipercayai mengenali antara satu sama lain dan berhubung melalui kumpulan di aplikasi WhatsApp dikenali sebagai “Angel”. – Info X