Search

Untung ketum tak sempat merasa

May 31, 2026

Info X Reporters

RANAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penjualan air ketum dalam serbuan di belakang sebuah rumah di Kampung Kinapulidan, di sini, malam tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 10 malam itu, polis turut merampas lapan botol air ketum serta puluhan paket serbuk ketum dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM3,940.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, suspek berusia 23 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) serta Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.

Katanya, pemeriksaan dijalankan selepas polis menerima maklumat dan menjalankan risikan awal.

“Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan menemukan sebuah bekas polisterin mengandungi lapan botol mineral 1.5 liter berisi air ketum.

“Turut dirampas dua bungkusan plastik mengandungi serbuk ketum membabitkan 37 paket seberat satu kilogram setiap satu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSJN IPD Ranau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Mursalin berkata, pihak polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran bahan terlarang termasuk air ketum di daerah ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa mengekang kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X