Search

Dua sepupu lemas ketika mandi di kolam kuari

May 31, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Dua remaja perempuan yang juga sepupu ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi-manda di sebuah kolam kuari di Kampung Gum-Gum, Jalan Kuari 5, di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Nurfatin, 15, dan Nurdina Nirmala, 17, yang berjaya dikeluarkan dari kolam berkenaan hasil usaha orang awam serta pasukan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.31 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 27 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan kejadian membabitkan dua remaja perempuan yang dipercayai lemas ketika mandi-manda di kolam kuari berkenaan.

“Seorang mangsa ditemukan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang lagi berjaya ditemukan hasil usaha bersama pasukan bomba dan orang awam di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.01 malam,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua mangsa berada di kolam kuari berkenaan untuk mandi sebelum dipercayai mengalami kesukaran di dalam air dan tenggelam.

Kejadian itu turut mengundang kesedihan ahli keluarga yang berada di lokasi. – Info X