KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan menggesa semua wakil rakyat di negeri ini bersatu hati dalam usaha mengekalkan kedaulatan Sabah khususnya berkaitan isu tuntutan Sulu.
“Semua wakil rakyat kita sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri perlu mempunyai kebersamaan sehingga isu tuntutan Sulu ini menemui titik penghujungnya.
“Perkara ini melibatkan kedaulatan negeri kita dan hal sebegini tidak boleh dibincangkan dengan melihat kepada perbezaan serta sudut pandang negatif,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Khairul Firdaus, semua pemimpin Sabah tidak boleh menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai halangan untuk bersatu dalam menyuarakan isu Sulu dan kedaulatan Sabah.
“Semua pemimpin Sabah wajar mencari solusi dan menetapkan pendirian bersama dalam usaha bagi membincangkan isu tuntutan Sulu.
“Sekarang bukan masanya untuk saling tunding jari kerana isu tuntutan Sulu bukan isu kecil yang boleh kita pandang mudah,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul Firdaus berkata pelbagai persoalan dan permasalah daripada tuntutan kerajaan Sulu ke atas Sabah sangat wajar dibincangkan kerana ia amat berkait rapat dengan kedaulatan Sabah.
Menurutnya, memang banyak persoalan yang perlu kita bincang, daripada kes pencerobohan di Lahad Datu hingga kini mengenai isu tuntutan aset negara seperti aset Petronas yang dirampas.
“Rakyat perlu diperjelaskan dan tidak boleh dikaburi dengan penjelasan yang tidak jelas berkenaan isu kedaulatan dan tuntutan Sulu.
“Perbincangan tentang tuntutan ini perlu diteliti secara teliti dan diatasi sebaiknya kerana tuntutan waris Sulu yang tidak diselesaikan oleh Malaysia menyebabkan berlakunya rampasan aset Petronas di luar negara.
“Oleh itu, ada baiknya hal ini segera diatasi dengan cara semua pemimpin Sabah bersatu hati,” katanya. – Info X