KOTA KINABALU: Dua lelaki diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di kawasan Inanam, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 7 malam itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah merampas pelbagai jenis dadah termasuk serbuk ekstasi dan ketamin bernilai keseluruhan lebih RM83,000.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 28 tahun ditahan dalam operasi hasil maklumat serta risikan berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Menurutnya, suspek pertama ditahan ketika berada di hadapan sebuah klinik di kawasan Taipan Inanam.
“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah plastik yang diserahkan suspek, polis menemui 30 paket plastik dipercayai mengandungi serbuk ekstasi seberat 537.14 gram dan satu paket berisi ketulan hablur disyaki ketamin seberat 50.28 gram.
“Nilai rampasan dianggarkan RM80,570 bagi serbuk ekstasi dan RM2,514 bagi ketamin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Alhusin berkata, susulan tangkapan itu, seorang lagi lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai pembekal dadah berkenaan turut diberkas di hadapan sebuah premis pajak gadai di Bandar Taipan, Inanam.
Katanya, siasatan mendapati suspek kedua dipercayai datang ke lokasi untuk mengambil wang hasil jualan dadah daripada suspek pertama.
“Hasil ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah.
“Polis turut merampas dua telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pengedaran dadah,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, JSJN Sabah akan terus memperhebat operasi membanteras kegiatan pengedaran dadah bagi memastikan sindiket terbabit dapat dilumpuhkan sepenuhnya. – Info X