Search

675 liter petrol dirampas, lelaki ditahan di jeti

June 5, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Cubaan menyimpan dan memiliki sejumlah besar petrol tanpa kebenaran gagal apabila seorang lelaki ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Jeti Kampung Air, Pekan Semporna, di sini, semalam.

Dalam operasi yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak itu, sebanyak 675 liter petrol bersama sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dan sebuah enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda (HP) dirampas.

Kes berkenaan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut KPDN, lelaki yang hanya memiliki sijil kelahiran itu ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan bagi memiliki atau menyimpan barang kawalan berkenaan.

Nilai rampasan petrol dianggarkan RM2,646, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan enjin sangkut dianggarkan RM5,244.40.

Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut.

KPDN berkata, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang diperhebatkan bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi di daerah Semporna termasuk kawasan perairan sekitarnya.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan barang kawalan.

“Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkannya kepada KPDN melalui saluran aduan rasmi bagi membantu usaha penguatkuasaan. – Info X