Search

Operator kilang didakwa rogol adik kandung

June 5, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol adik kandung sehingga hamil pada Disember tahun lalu.

Operator kilang berumur 31 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhailla Selag.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan merogol adik kandung perempuannya berusia 17 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 2 petang hingga jam 5 petang di sebuah rumah pekerja ladang di Kunak pada Disember tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara lapan tahun hingga 30 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam, manakala tertuduh diwakili peguam Sylyester Kuan.

Mahkamah menetapkan 3 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia (DNA) dan laporan perubatan mangsa.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap mangsa. – Info X