TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan sebuah premis pengeluaran ais blok dipercayai beroperasi tanpa kelulusan dan lesen dalam operasi bersepadu bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tawau dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT), pada Khamis.
Menurut kenyataan Batalion 14 PGA Tawau, operasi yang dijalankan kira-kira jam 8 pagi itu disasarkan ke atas premis Fresh Ice Enterprise hasil maklumat dan risikan yang diperoleh pihaknya.
Katanya, operasi diketuai Pegawai Risik Cawangan Risik Batalion 14 PGA Tawau, Asisten Komisioner Mohd Rafail Rabbahil bersama sembilan anggota, lima pegawai KKM yang diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Rafi Osman serta wakil MPT.
“Hasil pemeriksaan ke atas premis dan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dipercayai pengurus kilang berkenaa menemukan sebuah peti sejuk jenis ‘chiller’ yang mengandungi sejumlah ais blok dipercayai untuk pasaran sekitar Tawau dan Semporna.
“Pemeriksaan lanjut, menemukan dua mesin penghasilan ais blok, sebuah mesin penghancur ais, dua unit cooling tower serta tangki simpanan air yang digunakan dalam proses pengeluaran ais blok,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, semakan mendapati lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan serta Lesen Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan masih sah dan berkuat kuasa.
Bagaimanapun, katanya, pengusaha didapati gagal mengemukakan sebarang lesen atau kelulusan yang membenarkan aktiviti penghasilan dan penjualan ais blok.
“Selain itu, premis berkenaan juga didapati gagal memaparkan papan tanda perniagaan sebagaimana yang dikehendaki mengikut peruntukan undang-undang pihak berkuasa tempatan.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan melibatkan aset dan peralatan yang digunakan dalam operasi pengeluaran ais blok tersebut dianggarkan sebanyak RM2.1 juta,” katanya.
Dalam pada itu, KKM Cawangan Tawau telah mengambil tindakan lanjut dan menjalankan siasatan di bawah Peraturan 394(A)(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Sebagai tindakan awal, KKM mengeluarkan kompaun berjumlah RM2,500 serta mengarahkan sitaan operasi kilang dan peralatan berkaitan.
MPT turut mengeluarkan notis amaran pertama kepada pemilik premis kerana gagal memaparkan papan tanda perniagaan mengikut Undang-Undang Perlesenan (Iklan) MPT 1968. – Info X