Search

Dua warga asing ditahan disyaki buat bom ikan

June 6, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Taktik dua warga asing menjadikan dua rumah di Kampung Hidayat, Pulau Bum Bum sebagai lokasi menghasilkan bom ikan terbongkar apabila diserbu polis, semalam.

Serbuan kira-kira jam 11 pagi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita berusia 25 dan 24 tahun serta rampasan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah serta Balai Polis Pulau Bum Bum hasil maklumat dan risikan berhubung aktiviti pembuatan bom ikan.

Menurutnya, pemeriksaan di kedua-dua rumah terbabit menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan bahan letupan bagi tujuan menangkap ikan secara haram.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menahan dua suspek warga asing dan merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk membuat bom ikan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana dipercayai tidak memiliki pas atau permit sah untuk tinggal di Malaysia.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain boleh dikenakan sebatan.

Tan berkata, pihaknya menghargai maklumat yang disalurkan orang awam dan meminta kerjasama masyarakat terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengeboman ikan kepada balai polis berhampiran.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan ini kerana ia bukan sahaja membahayakan nyawa, malah merosakkan ekosistem marin serta mengancam keselamatan,” katanya. – Info X