Search

‘Umur 20 tahun belum ada MyKad’

June 7, 2026

Info X Reporters

‎KOTA BELUD: Ada penduduk tempatan dikesan tidak memiliki dokumen pengenalan diri walaupun sudah berumur 20 tahun akibat kurang kesedaran mengenai undang-undang yang mewajibkan dokumentasi diri setiap individu.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari berdasarkan masalah dokumentasi dikemukakan penduduk daerah ini pada Program Mahkamah Bergerak di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, di sini, pada Sabtu.

“Ada juga kes penduduk tempatan yang sudah mencecah usia 19 hingga 20 tahun tetapi masih belum memiliki dokumen pengenalan diri yang sah kerana kurang kesedaran mengenai undang-undang pengenalan diri sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Program itu dihadiri kira-kira 600 penduduk dari sekitar daerah ini yang berdepan pelbagai masalah dokumentasi dan memerlukan pengesahan mahkamah untuk menyelesaikan masalah dihadapi.

Selain tiada kesedaran undang-undang, Arsad berkata masalah lain yang dikesan menerusi program itu ialah kesukaran penduduk ke hospital untuk mendapatkan dokumen pengesahan kelahiran awal, terutama bagi kes melahirkan anak di rumah, menyebabkan anak tiada dokumen.

“Terdapat juga masalah membabitkan perkahwinan yang tidak teratur atau tidak didaftarkan secara sah sama ada melalui jabatan agama bagi penganut Islam, atau tanpa pengesahan adat yang lengkap bagi bukan Islam, termasuk isu perkahwinan campur, contohnya antara warga Cina dengan penduduk tempatan,” katanya.

Sementara itu, Arsad berkata kehadiran kira-kira 600 orang pada program itu menandakan signifikan program berkenaan kepada penduduk kampung yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri disebabkan jarak dan kekangan kewangan untuk mendapatkan akses perkhidmatan agensi kerajaan.

‎”Saya percaya masih ramai penduduk di Sabah khususnya di kawasan luar bandar seperti Kota Belud mengalami masalah dokumen pengenalan diri yang menghalang kepada akses pendidikan, kesihatan dan bantuan daripada kerajaan.

‎”Setiap rakyat berhak mendapat akses kepada perkhidmatan kerajaan dan sistem keadilan tanpa halangan, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

‎”Angka yang hadir pada hari ini menandakan signifikan program ini terhadap penduduk Kota Belud,” katanya.

‎Dalam pada itu, Arsad menzahirkan harapan agar Mahkamah Syariah turut menyertai program berkenaan pada masa depan bagi menyelesaikan isu perkahwinan yang tidak berdaftar sehingga menjejaskan peluang kanak-kanak Islam mendapatkan dokumen kelahiran.

‎”Dalam konteks umat Islam, peranan Mahkamah Syariah amat penting kerana sering kali perkahwinan yang tidak teratur ataupun tidak berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menjejaskan peluang kanak-kanak Islam mendapatkan sijil kelahiran”, katanya.

‎Program Mahkamah Bergerak Fasa 4 Kota Belud yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat DUN Tempasuk itu disertai agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mahkamah Anak Negeri, JHEAINS, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Jabatan Kesihatan Kota Belud, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia turut menyediakan perkhidmatan pengesahan sijil lahir, daftar lewat, urusan Surat Akuan dan Pesuruhjaya Sumpah serta nasihat perundangan. – Info X